KUANTAN – Remaja perempuan yang ditemui dua hari selepas dia dikatakan diculik ketika membeli kad tambah nilai prabayar Ahad lalu, akhirnya mengaku kepada polis bahawa dia sebenarnya tidak diculik.
Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, mengaku dia dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya berusia 26 tahun setelah mengalami tekanan emosi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, pengakuan itu dibuat ketika polis menyoal siasat gadis itu selepas dia ditemui di rumah keluarga teman lelakinya di Kampung Merchong dekat Pekan, petang semalam.
“Setelah menyiasat kes ini, polis mendapati Siti Nur Fatihah bukan diculik. Remaja ini keluar dari rumah secara sukarela dan tiada unsur paksaan atau kekerasan oleh mana-mana pihak.
“Gadis ini mengaku dia lari dari rumah untuk menenangkan fikiran dan mahu tinggal sementara dengan keluarga teman lelakinya,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ahad lalu, Siti Nur Fatihah dilaporkan `diculik’ oleh tiga individu termasuk seorang wanita semasa keluar membeli kad tambah nilai prabayar di Taman Tas di sini.
Gadis itu bagaimanapun ditemui selepas polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an di Kampung Merchong, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Dia dibawa ke kampung tersebut yang terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar ini.
Narenasagaran memberitahu, remaja itu sendiri menghubungi kedua-dua lelaki dan wanita itu untuk menghantarnya ke rumah teman lelakinya di Kampung Merchong pada hari dia dilaporkan hilang oleh keluarganya.
Menurutnya, Siti Nur Fatihah kini dihantar ke Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Sultanah Fatimah di sini untuk diberi kaunseling dan penjagaan kerana dia tidak mahu pulang ke rumah serta merayu tidak mahu ditemui sesiapa.
Ditanya mengenai dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang didakwa melarikan gadis tersebut, Narenasagaran berkata, mereka tidak ditahan tetapi akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Mereka tidak melakukan penculikan. Mangsa sendiri mengaku tidak diculik serta tidak dikasari atau dipaksa,” jelas beliau sambil memberitahu kes ini dianggap selesai.
Sementara itu, di MELAKA, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes culik di negara ini.
Menurutnya, polis yakin anggota dan pegawai polis sedia ada mampu menangani kejadian seumpama itu.
“Kes penculikan dan kehilangan individu di negara ini tidak serius. Bagaimanapun, ia mungkin disensasikan seolah-olah negara ini tidak selamat sehingga mencetuskan suasana panik dalam masyarakat,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di pejabatnya di Seri Negeri, hari ini.
Ismail menambah, beliau percaya kepada kemampuan pasukan polis dalam menghadapi sebarang kejadian jenayah termasuk kes culik selain akan meningkatkan pemantauan dan rondaan bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.